Pengertian Teori dan Peranannya

Secara prinsip, ‘Sorotan Karya’ (salah satu bab tesis) membincangkan konsep-konsep penting berkaitan hal yang dikaji. Ia menghala kepada pembentukan kerangka teori kajian. Dalam proses melengkapkan bab ini, salah satu masalah awal yang mungkin terjadi kepada anda (jika berkaitan) ialah memahami  apakah yang dimaksudkan dengan teori? Jika sudah difahami maknanya, apa pentingnya teori dalam sesuatu kajian?

 

Sabitha Marican (2005:49) menjelaskan makna teori seperti berikut: teori ialah satu set pernyataan yang abstrak dan umum yang disokong oleh syor (atau hipotesis yang dibuktikan). Berdasarkan makna ini, beliau menegaskan bahawa teori dan hipotesis adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan kerana teori itu sendiri disokong melalui hipotesis. Beliau juga berkata: teori adalah satu set kenyataan mengenai perkaitan antara beberapa pembolehubah. Oleh yang demikian, sesuatu teori itu mestilah boleh diuji dan merupakan sesuatu yang benar atau sebaliknya sehinggalah ia dibuktikan.

 

Jikalau itu maknanya teori, apa pentingnya teori dalam sesuatu kajian atau penyelidikan?

Sesuatu teori yang baik dapat menjelaskan kepada kita tentang sesuatu fenomena. Ia memandu kita untuk mengisi jurang literatur yang dikenal pasti sama ada mendalami sesuatu fakta yang telah diketahui atau menjelaskan perkara-perkara yang masih kabur. Justeru, Sabitha Marican (2005:50) menyarankan 3 peranan utama teori: Pertama, mengorganisasikan pengetahuan dan menjelaskan hukum. Kedua, meramal hukum yang baru. Ketiga, menjadi panduan untuk penyelidikan.

 

Sekarang, kita sudah memahami secara ringkas apa yang dimaksudkan dengan teori dan peranannya dalam sesuatu penyelidikan. Apa pula yang dimaksudkan dengan kerangka teori? Begitu juga dengan kerangka konsep? Apakah ada perbezaan antara keduanya?

 

Sama ada kerangka teori atau kerangka konsep, perbincangan kedua-duanya tertumpu kepada konsep dan pembolehubah yang hendak dikaji.

 

Secara mudahnya, kerangka teori memperlihatkan satu penjelasan yang luas dan umum tentang perkaitan antara konsep-konsep yang dikaji (Sabitha Marican, 2005:50). Menurut Sabitha Marican lagi, ia berdasarkan penjelasan teori sedia ada (penyelidik guna kerangka teori untuk jelaskan teori tentang sesuatu hal yang dikaji). Contohnya, teori motivasi ialah satu contoh kerangka teori dalam mengkaji pendorong sesuatu gelagat atau tingkah laku.

 

Perlu difahami juga, kerangka teori ini sering digunakan apabila tiada teori yang wujud dan dengan sebab itu, penyelidik membentuk satu perkaitan antara antara konsep-konsep yang hendak dikaji (Sabitha Marican,  2005:50).

 

Secara lebih menyeluruh, perhatikan rumusan Uma Sekaran (2000:56) tentang perkara yang perlu ada dalam sebuah kerangka teori. Ada 5 ciri penting iaitu: Pertama, perlu terlebih dahulu mengenal pasti dan melabelkan pembolehubah yang dianggap sesuai dengan kajian. Kedua, perlu nyatakan bagaimana pembolehubah-pembolehubah tersebut berhubungan. Ketiga, perlu nyatakan sifat dan arah hubungan (berdasarkan kajian-kajian lepas) antara pembolehubah-pembolehubah tersebut. Keempat, perlu ada penjelasan tentang ramalan hubungan tersebut. Kelima, perlu kemukakan rajah yang sistematik.

 

Maknanya, kerangka teori ialah asas untuk menerangkan secara keseluruhan apa yang hendak dikaji.

 

Jikalau begitu pengertian kerangka teori, apa pula kerangka konsep?

 

Kerangka konsep lebih bersifat tentatif dan belum dibangunkan secara sepenuhnya berbanding kerangka teori (Norwood, 2000:78). Ertinya, ia merujuk sesuatu teori yang belum diuji.

 

Kerangka konsep adalah sesuatu yang amat penting bagi penyelidik kualitatif. Melalui kerangka ini, proses pengumpulan data dan seterusnya pentafsirannya ke arah membentuk satu generalisasi dapat dilakukan.

 

9 Comments

  1. Salam. Saya terjumpa tulisan saudara. Harap saudara tidak keberatan jika saya muatkan dalam blog saya sebagai koleksi panduan untuk saya sepanjang berada dalam intellectual journey ni…Terima kasih.

    • Maaf agak terlalu lewat membalas komen saudara. Saya izinkan tulisan saya berada dalam blog saudara. Untuk mengikuti perkembangan terkini saya, sila layari dialirankedamaian.blogspot.com.

  2. saya sangat gembira membaca makna ini kerana ia mbantu utk kerja kumpulan saya.terima kasih

    • Mudah-mudahan perkongsian ilmu ini membawa kita kepada rahmah dan keampunan Allah.

  3. izinkan saya mengambil ilmu di atas sebagai rujukan..

  4. Assalamualaikum,saya ingin mendapatkan pandangan dan ilmu berkaitan dengan kerangka teori.Utk makluman saudara saya sekarang dlm proses menulis tesis yang bertajuk takrif dan tankir (definit & indefinit) dalam bahasa Arab:satu analisis semantik dalam surah al-Furqan.Saya menghadapi masaalh utk menerapkan teori apa dalam tesis saya..kalau takkeberatan saya harap saudara boleh menghubungi saya dialamat email saya..
    yg mengharap

    • Assalamualaikum.

      Saya sudah tidak menggunakan blog yahoo. Saya sangat berbesar hati dapat berdiskusi dengan saudara melalui ahmazrin@gmail.com

  5. Terima kasih. Sangat membantu dan memberi kekuatan dalam menyiapkan penyelidikan. Semoga rahmat Allah berpanjangan pada kita semua sebagai hambaNya. Saya berbangga membaca blog Dr. yang begitu menjaga iman dalam ilmunya. Allahuakbar!! Tahniah dan Terimakasih sekali lagi.

    • Terima kasih Atia. Mudah-mudahan kita dirahmati Allah. Saya sebenarnya sudah tidak menggunakan blog yahoo. Boleh terus mengikuti tulisan saya melalui dialirankedamaian.blogspot.com


Comments RSS TrackBack Identifier URI

Leave a reply to roospalela Cancel reply