Hukumlah Sesuatu Dengan Ilmu

 

Sedihnya membaca tulisan di bawah yang dihantar oleh seorang hamba Allah kepada semua pembaca sekalian. Apabila saya menggunakan perkataan ‘sedih’, pastinya ada yang bersetuju dengan saya atau sebaliknya atau mungkin saudara merupakan salah seorang yang berfahaman sebagaimana tulisan di bawah:

 

Assalamu’alaikum & Salam Sejahtera Saudara/i Sekalian,

Sedar tak sedar, kita semua ni menjadi mangsa tipudaya dunia akhir zaman. Berbondong2 umat Islam hari ini mempercayai sistem perbankan yang bertopengkan nama Islam. Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.

Hakikatnya, Perbankan Islam ataupun Perbankan Konvensional yang wujud pada hari ini adalah 2×5 sahaja. Kedua-duanya mengenakan caj yang tidak munasabah ataupun memang menyakitkan hati para peminjam. Caj yang dikenakan ini kalau kat Bank non-Islam dipanggil ‘interest’ charge manakala kat Bank Islam ditukar perkataan tu kepada ‘service’ charge – sama sahaja, ‘bungkusan’ je lain2.

Kalau kita fikir betul2, bank yang bertopengkan nama Islam ni lebih banyak menipu masyarakat berbanding bank non-Islam ataupun sekurang2nya sama besar penipunya.

Bank bertopengkan Islam kata, caj 7.5% yang dikenakan untuk pinjaman perumahan itu adalah ‘service’ charge ataupun caj perkhidmatan BUKANNYA ‘interest’ charge ataupun caj faedah… Alaaahaai, pandai betul putar belit!!! Licik & jelek betul teknik pemasaran begini!!! Konsep sama, nama je lain… Bank Konvensional sekurang2nya berterus terang, tak macam bank bertopengkan Islam, berpusing2…

Saya bagi contoh, bayaran pokok setiap bulan bagi pinjaman perumahan RM300k selama 30 tahun adalah sebanyak RM833.33 sebulan. Purata KADAR FAEDAHbank bertopengkan Islam adalah 7.5% (terus-terang, tak payah nak berselindung2, konon2nya kadar perkhidmatan ye, bukan kadar faedah ye, ptuihh)…

Setelah dicampur dengan kadar faedah 7.5% ni, maka peminjam perlu membayar ‘a whopping’ RM2097.64 SEBULAN kepada bank yang bertopengkan Islam tadi… Kiralah berapa banyak caj yang dia kata HANYA SERVIS CAJ tu… RM1264.31 tuhhh!!! Kepala hatok dia, satu kepala kena bayar servis bulan2 besar macam tu!!!

Cuba kita bezakan dengan bank non-Islam yang kini kita perlu bayar serendah 4.5%. Jumlah bayaran bulanan dia RM1520.05, bermakna faedah dia hanya RM686.72 sahaja – masih lagi tak wajar TAPI jauh lebih rendah daripada bank bertopengkan Islam yang mengenakan faedah RM1264.31…

Ada yang memberi alasan kadar faedah bank bertopengkan Islam tu kekal atau TIADA BLR (Base Lending Rate). Sedar ke tak sedar, dalam kehidupan seharian kita, apabila kita bagi pinjam duit kita kat kawan kita dan kita diajar adalah HARAMMM untuk kita mintak extra walau 1 sen pun daripada kawan kita tadi tu sekalipun one-time basis atau per day or etc… Tiba2, halal pulak bagi bank bertopengkan Islam… Apa nih!?

Lepas tu, sejak akhir2 ni, dah mula menjadi trend bank2 bertopengkan Islam ni menawarkan pakej baru yang menggunakan konsep BLR. Cuma bezanya, dia tukar nama BLR tu kepada BFR (Base Financing Rate)… BFR-1%, BFR-1.2% etc… Pakej baru nie disasarkan kepada mereka yang tak mampu nak bayar fix interest rate 7.5% sebelum ni. Jijik betul lah depa twist-twist macam nih!

Barangkali ING Housing Loan yang kini menawarkan kadar faedah fix 5.5% lebih Islamic daripada bank2 atau pakej2 yang menggunakan nama Islam… Jika bank bertopengkan Islam tu buat macam Bank Negara Malaysia yang mengenakan kadar faedah 2% sahaja kepada stafnya, maka barulah agak munasabah…

Beberapa kenalan saya yang membuat pinjaman perumahan dengan bank non-Islam telah membuat rayuan untuk dikecualikan daripada caj lewat bayar untuk tempoh tertentu dan rayuan tersebut diluluskan sebab mereka mempunyai alasan kukuh antaranya anak menghidap kanser yang memerlukan belanja berpuluh ribu ringgit. Ehem, kalau tiada alasan munasabah, adillah kalau kena ‘denda’ kan. Siapa kata bank non-Islam tak pernah consider masalah peminjam2nya?

Lagi satu, saya ni orang Cina Muslim. Ayah saya Chinese convert. Tolong betulkan fakta si Zaharuddin tu yang merepek kononnya sebab utama orang Cina pilih perbankan Islam kononnya kerana kemudahan pengecualian caj lewat bayar. Kami orang Cina, kalau pilih bank Islam, sebab utamanya adalah kadar faedah fix tu ye.

Saya kesian tengok orang Melayu Islam/peribumi Islam ‘TERPAKSA’ pilih bank Islam yang mahal sebab mulut2 orang seperti Zaharuddin yang ‘menghalalkan’nya. Kami, bangsa Cina, rata2 tiada masalah untuk bayar lebih 20%-40% sebab kami mampu dari segi kewangan untuk bayar lebih bagi mengelakkan uncertainty berbanding peribumi Islam yang tup,tup,tup terus kena bayar caj yang mencanak dalam keadaan kurang mampu kewangan.

Dan sejak ING menawarkan fix housing loan interest, ramai orang Cina yang dah beralih.

Aku tak tahu lah macam mana orang2 agama ni kena kelentong dengan golongan korporat yang berjaya memperdayakan mereka untuk meng’halal’kan pakej2 pinjaman bertopengkan nama Islam tu…

Aku ada jumpa sorang ulamak ni, yang TIDAK pernah membuat sebarang pinjaman. Selepas 4 tahun bekerja, barulah dia membeli kereta Proton secara tunai dengan menggunakan wang simpanannya. Hampir 20 tahun, selepas membeli kereta, barulah dia membeli rumah, juga secara tunai.

Dia takut untuk membuat pinjaman sekalipun dengan bank Islam kerana banyak keraguan yang berasas untuk menelan bulat2 fatwa halal bank Islam. Memang aku respek kat dia. Aku pun tak mampu nak ikut kesabaran dia menyimpan selama berpuluh2 tahun untuk beli rumah cash!

Semoga Allah Merahmati ulamak berkenaan.

 

(dipetik daripada sebuah laman web)

 

Bagaimana? Bersetuju dengan penulis? Jikalau saudara sealiran dengan penulis ini, sekali lagi saya menggunakan perkataan ’sedih’ buat saudara untuk menegaskan betapa salah dan dangkalnya fakta-fakta yang telah dinyatakan.

 

Saya bukanlah seorang pakar dalam bidang yang menggabungkan usul fiqh, kewangan dan perbankan. Namun, pengalaman singkat saya sebagai seorang pengamal perbankan, dan kini sebagai seorang calon PhD dalam bidang gelagat pengguna Islam dan kriteria pemilihan bank membawa kepada beberapa rumusan utama. Walau bagaimanapun, hari ini saya ingin mengetengahkan satu sahaja daripada kesemua rumusan tersebut.

 

Rumusan pertama, jangan terlalu tergesa-gesa untuk mengharamkan sesuatu yang sifatnya halal, sekiranya kita tidak cuba mendalami konsep syariah dalam perbankan Islam. Apakah kita telah benar-benar memahami takrif, rukun, syarat sah dan hukum sesuatu prinsip Islam yang diterapkan ke dalam sesuatu produk perbankan? Jika jawapannya tidak, bersedia untuk berhadapan dengan Allah nanti di hari pengadilan kerana kita telah menghukum sesuatu tanpa ilmu, apa lagi mengharamkan yang halal, menghalalkan yang haram.

 

Mengikut penelitian saya, mereka ini terlalu jahil tentang hal-hal ini. Pandangan yang mereka lontarkan ini adalah berdasarkan teori ikut-ikutan yang didasari oleh nafsu yang jahat dan emosi yang bercelaru. Jika tidak percaya, saya ingin bertanya kepada penulis dan juga saudara. Jika benar bank Islam yang sedang beroperasi kini hanyalah bersifat kosmetik (istilah faedah ditukar kepada keuntungan), bagaimana saudara mentafsirkan ayat 275 surah al-Baqarah? Apakah konsep hubungan yang terjalin antara bank dan kita sebagai pengguna? Jika sistem perbankan Islam yang sedia ada ini terlalu ’jelek’ di pandangan, sistem yang bagaimana yang saudara inginkan? Pastinya, saudara akan menjawab sistem yang menyediakan produk dan perkhidmatan yang murah, tidak zalim dan tidak menindas. Tidakkah kesemua nilai ini dianjurkan oleh Islam?

 

Produk perbankan Islam lebih mahal daripada produk perbankan Islam? Betulkah? Kaedah pengiraan yang ditunjukkan (tulisan di atas) mempamerkan ketidaktepatan pengiraan sebenar seterusnya mendedahkan betapa ceteknya ilmu perbankan yang dimiliki. Tidakkah saudara ketahui bahawa jumlah kos sebenar bagi produk perbankan konvensional adalah terikat kepada kadar pinjaman asas (BLR) yang diperkenalkan oleh rejim Yahudi untuk menggantikan kadar pinjaman prima? Ertinya, kos sebenar pinjaman adalah bergantung kepada pergerakan BLR yang tidak tetap kadarnya (di sinilah haramnya perbankan konvensional kerana ada unsur ketidakpastian). Saudara mendakwa Based Financing Rate (BFR) yang diperkenalkan oleh bank Islam itu sebenarnya BLR versi Islam. Jangan bersikap melulu. Tahukah saudara apakah yang dimaksudkan dengan BFR? Ia sebenarnya jauh lebih baik daripada BLR dan fixed rate kerana memberikan lebih keadilan kepada pengguna daripada segi kos sebenar sesuatu aset yang disewa daripada bank. Sebagai contoh, jika kadar tetap ialah 8%, BFR pula 6%. Mana-mana pembiayaan yang menggunakan BFR, pengguna akan diberikan diskaun sebanyak 2% (8%-6%). Menariknya, jika BFR meningkat melebihi kadar tetap (seperti contoh di atas, 8%), pengguna akan dikenakan kadar 8% (tidak boleh lebih daripada kadar tetap). Dan yang lebih penting untuk saudara fahami sebelum membincangkan hal-hal yang lebih teknikal ialah, hubungan yang terjalin antara saudara dan bank konvensional ialah atas dasar peminjam dan pemberi pinjam. Ertinya, yang menjadi objek urusniaga ialah wang sama ada dipinjam atau diberi pinjam (di sinilah riba ad-duyun berlaku). Sedangkan dalam perbankan Islam, hubungannya ialah antara pembeli atau rakan kongsi dan penjual. Ertinya, yang menjadi objek urusniaga bukannya wang tetapi barang atau perkhidmatan yang dijual beli. Dan inilah yang menjadi intipati penting dalam ayat 275 surah al-Baqarah.

 

Islam tidak menolak elemen ’murah’, kerana ia seringkali dikaitkan dengan unsur tidak zalim dan tidak menindas. Tetapi harus diingat bahawa yang lebih diutamakan oleh Islam ialah tentang kehalalannya sama ada daripada segi mutu dan kesuciannya. Analoginya mudah. Sekiranya kita ingin membeli minyak wangi yang berjenama, bagaimana harganya? Mahal bukan? Tetapi kenapa kita sanggup membelinya walaupun harganya mahal? Padahal dengan harga begitu kita mampu memiliki minyak wangi yang tidak berjenama dengan kuantiti yang banyak.

 

Ada pula yang bertanya: kenapa bank Islam tidak boleh menawarkan produk yang murah. Sebenarnya itulah yang ingin dilakukan oleh bank Islam. Tetapi harus diingat, bank Islam juga perlu melunaskan tanggungjawab kepada para pendeposit, mempastikan tidak berlakunya kerugian operasi (tahukah kos sebenar yang perlu ditanggung oleh pihak bank dalam urusan pembiayaan aset?) dan yang lebih penting ialah untuk meneruskan kelangsungannya dalam arus persaingan dengan bank-bank konvensional yang jauh lebih besar asetnya (aset bank-bank Islam ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan bank-bank konvensional). Saya titipkan peringatan ini buat diri saya yang masih banyak kelemahannya dan juga para pembaca sekalian, tiada guna meraih keuntungan dunia, tetapi merana di akhirat kelak.

1 Comment

  1. Perbincangan itu penting untuk mengelak kekeliruan pemahaman. Sebuah cara yang cemerlang dalam menghadapi tohmahan terhadap sistem perbankan Islam.


Comments RSS TrackBack Identifier URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s