Berakhirkah Isu Pembelian Mercedes-Benz?

Suatu ketika dahulu, guru saya (Prof. Zainal Abidin Mohamed, salah seorang pakar dalam bidang Pengurusan Strategik di Malaysia) pernah bertanya kepada saya. “Bilakah sesuatu perkara itu dianggap sebagai satu isu?”. Jawapan beliau ringkas sahaja, “Apabila ia muncul di dada akhbar.”

Sejak kebelakangan ini, salah satu perkara yang sering diperkatakan di media massa ialah tentang pembelian 14 buah kereta Mercedes-Benz E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Perbincangan tentang perkara ini sudah berlarutan selama 2 minggu yang jelas mengiayakan betapa seriusnya perkara ini dan tentunya ia merupakan satu isu besar sebagaimana yang dihujahkan oleh guru saya. Sungguhpun isu ini sudah dianggap selesai oleh Menteri Besar Terengganu (lihat Berita Harian 27 Julai 2008), saya berkeyakinan penuh bahawa ia tidak akan ‘berhenti’ di sini. Terdapat 3 isu susulan yang bakal terjadi.

Pertama, isu penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive. Sama ada anda mahu bersetuju dengan saya atau sebaliknya, kos penyelenggaraan tersebut sama sekali tidak masuk akal. Hal ini sudah ditegaskan oleh pihak pengurusan PROTON yang telah mengemukakan bukti secara saintifik tentang hal ini (RM600 bagi setiap kali penyelenggaraan berkala). Apa maknanya? Sama ada di pihak Kerajaan Negeri atau di pihak mekanik, pastinya berlaku unsur penyelewangan. Pihak mekanik sendiri sudah menyatakan bahawa mereka mengenakan caj tambahan sebanyak 25% ke atas setiap jumlah penyelenggaraan bagi setiap kenderaan. Sebagai contoh, sekiranya kos penyelenggaraan tersebut berjumlah RM600, tambahan sebanyak RM150 akan dikenakan ke atasnya menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar ialah sebanyak RM750. Kalaupun ia (caj tambahan 25%) dibenarkan, jumlah ini masih lagi rendah sebagaimana yang dilaporkan (purata RM1400 sebuah setiap bulan). Ertinya, tidak cukup dengan caj tambahan sebanyak 25%, ‘pihak tertentu’ turut mendapat habuan dengan mengenakan caj-caj lain yang sepatutnya tidak berlaku ke atas alat-alat ganti kenderaan, kos buruh yang tidak masuk akal dan sebagainya. Melihat kepada semua fakta ini, persoalannya, siapakah yang membenarkan caj tambahan sebanyak 25% ini dilakukan? Menurut pihak mekanik, ia terpaksa dibuat memandangkan kelewatan bayaran di pihak kerajaan negeri. Dakwaan ini segera dinafikan oleh pihak kerajaan negeri? Daripada sisi yang lain, apakah caj tambahan sebanyak 25% ini tidak diketahui oleh pegawai di pihak kerajaan negeri? Jikalau ia berada di luar pengetahuannya, bagaimana pula dengan kakitangan kerajaan negeri (pemandu kereta) yang bertanggung jawab membawa kenderaan tersebut ke bengkel tertentu? Apakah wujud ‘perjanjian-perjanjian tertentu’ yang dimeterai antara pihak bengkel dengan pihak pemandu ataupun pihak pegawai ataupun kedua-duanya?

Kedua, terdapat kemungkinan Menteri Besar Terengganu (YB. Dato’ Ahmad Said) dan Kerajaan Negeri Terengganu akan disaman oleh mantan Menteri Besar Terengganu (YAB. Dato’ Seri Idris Jusoh) di atas kesilapan kenyataan tentang kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakan oleh beliau. Kenyataan ini sesungguhnya telah mencemarkan imej dan reputasi mantan Menteri Besar Terengganu yang pada saat ini masih lagi berada di luar negara kerana mengikuti satu kursus selama 1 bulan. Dalam pada itu, saranan Menteri Besar Terengganu kepada Badan Pencegah Rasuah agar turut sama menyiasat projek-projek utama negeri seperti Taman Tamadun Islam dan Penganjuran ”Monsoon Cup” akan memburukkan lagi hubungan antara mereka berdua.

Ketiga, isu pembelian Mercedes Benz sesungguhnya telah memberi kelebihan kepada pihak pembangkang dalam usaha meraih sokongan rakyat untuk pilihanraya umum ke-13 yang akan datang. Walau apa pun hujah yang diketengahkan oleh Menteri Besar Terengganu untuk ’menghalalkan’ pembelian Mercedes-Benz, saya percaya rakyat Malaysia amnya dan Terengganu khususnya tidak dapat menerima hakikat tersebut dalam keadaan ekonomi global dan negara yang tidak menentu. Pada ketika rakyat Malaysia dinasihatkan agar berjimat-cermat dan bersederhana dalam perbelanjaan, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan YB. Dato’ Ahmad Said memilih satu pendekatan yang ’tidak cerdik’. Soalan-soalan berikut harus dijawab oleh beliau untuk menidakkan kenyataan saya ini. Dalam suasana ekonomi sekarang, kenapa 14 buah? Sebagaimana yang dilaporkan, cuma kenderaan yang digunakan oleh YB. Toh sahaja yang agak kritikal keadaannya, tetapi kenapa ditukar semua kenderaan yang dipakai oleh exco dan anggota pentadbiran kanan kerajaan? Jikalau benar Proton Perdana V6 Executive tidak berfungsi sebagaimana yang dihasratkan, kenapa tidak memilih kenderaan CKD (kereta yang dipasang dalam negara) yang lain yang jauh lebih murah daripada Mercedes Benz? Jikalau benar kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive memang membebankan Kerajaan Negeri Terengganu, kenapa kos di Terengganu jauh berbeza dengan kos di tempat lain? Silap keretakah atau cara menggunakannya?

YB. Dato’ Ahmad Said seharusnya menggunakan sebaik-baiknya peluang yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Dengan izin Allah, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu dengan perkenan DYMM Tuanku Sultan Mizan walaupun tidak persetujui oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia. Pada ketika usaha, fikiran dan keringat yang sepatutnya tertumpu kepada usaha membangunkan negeri dalam suasana ekonomi yang agak mencabar, alangkah ruginya beliau dan anggota pentadbiran kerajaan kerana terpaksa beralih kepada isu yang jelas merugikan rakyat negeri Terengganu secara keseluruhannya.

Akhirnya, renungilah sepotong ayat daripada surah Yusuf ayat 43 yang bermaksud:

Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): ”Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh biji (gandum) yang hijau dan tujuh biji lainnya yang kering.” Hai orang-orang yang terkemuka: ”Terangkanlah kepadaku tentang tadbir mimpiku itu jika kamu dapat mentadbir mimpi.”

Apa kata Yusuf setelah baginda diminta oleh Raja untuk menjelaskannya. Kata Yusuf sebagaimana termaktub di dalam surah Yusuf ayat 47 dan 48 yang bermaksud:

Yusuf berkata: ”Supaya kamu bertanam selama tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuaikan hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar) kecuali sedikit dari biji gandum yang kamu simpan.”

 

 

Leave a comment

No comments yet.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s